KESAN PENGGUNAAN KAEDAH T.I.T.I.K. TERHADAP PENCAPAIAN DAN PERSEPSI MURID-MURID TAHUN 5 DALAM BAHASA MELAYU PENULISAN (BAHAGIAN B - ULASAN)

KESAN PENGGUNAAN KAEDAH T.I.T.I.K. TERHADAP PENCAPAIAN DAN PERSEPSI MURID-MURID TAHUN 5 DALAM BAHASA MELAYU PENULISAN (BAHAGIAN B - ULASAN)

MOHD HARMAN BIN MD RODZI

SK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH

 

ABSTRAK

 

Kaedah T.I.T.I.K. ialah satu kaedah yang diperkenalkan oleh penyelidik bagi membantu murid-murid khususnya murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) untuk menulis ulasan dengan betul dan mematuhi format yang telah ditetapkan. Kaedah T.I.T.I.K. merupakan singkatan kepada T (Tajuk), I.T. (Isi Tersurat), I (Isi Tersirat) dan K (Kesimpulan). Kaedah ini dicipta selepas penyelidik mengesan kelemahan murid-murid semasa menulis ulasan. Antara kelemahan tersebut ialah ketiadaan idea atau hala tuju untuk     menulis     ulasan     dan     masih    tidak    dapat membezakan antara Bahagian B - Ulasan dengan Bahagian C - Karangan khususnya jumlah perenggan dan bilangan patah perkataan yang perlu dibuat. Selain itu, murid-murid banyak melakukan kesalahan dari segi ejaan, tanda baca, susunan ayat dan penggunaan tatabahasa. Bagi menilai sejauhmana Kaedah T.I.T.I.K. ini mampu memberi kesan terhadap pencapaian murid-murid dalam Bahasa Melayu Penulisan (Bahagian B - Ulasan), penyelidik telah melaksanakan satu kajian tindakan. Penyelidik telah memilih seramai 36 orang murid Tahun 5 dari kelas 5 UM di SK Sultan Yussuf, Batu Gajah sebagai responden. Untuk pengumpulan data, penyelidik telah memilih kaedah penilaian dan kaedah tinjauan. Instrumen kajian bagi kaedah penilaian ialah ujian pra dan ujian pasca, manakala bagi kaedah tinjauan pula instrumen kajian yang digunapakai ialah borang soal selidik. Sementara itu, bagi analisis data, penyelidik telah memilih kaedah kuantitatif. Data dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif iaitu perbandingan antara markah dan gred ujian pra dengan ujian pasca, peratus dan kekerapan skor yang dipilih (Skala Likert). Dapatan kajian menunjukkan bahawa 26 orang responden  (72.22%) daripada 36 orang   responden mencatatkan peningkatan markah dalam ujian pasca berbanding ujian pra. Selain itu, 2 orang responden atau 5.56%-pula mencatatkan penurunan markah dan 8 orang responden atau 22.22% lagi mencatatkan markah yang sama dalam ujian pra dan ujian pasca. Selain itu, perbandingan ujian pra dan ujian pasca mengikut gred pula turut mencatatkan impak positif. Buktinya, seramai 10 orang responden (27.78%) berjaya memperolehi Gred A (markah 13 - 15) semasa ujian pasca berbanding 3 orang (8.33%) ketika ujian pra. Sementara itu, dapatan soal selidik persepsi pula memperlihatkan bahawa sebahagian besar responden bersetuju bahawa Kaedah T.I.T.I.K. ini telah membantu mereka menulis ulasan dengan baik dan meningkatkan pencapaian mereka. Para responden juga turut menjelaskan bahawa mereka seronok mempelajari Kaedah T.I.T.I.K. untuk menulis ulasan. Kesimpulannya, dapatan markah ujian pra dan pasca adalah selaras dengan dapatan soal selidik, di mana Kaedah T.I.T.I.K. dianggap berkesan dalam membantu responden untuk menulis ulasan dengan baik dan memenuhi format yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, Kaedah T.I.T.I.K. ini adalah amat sesuai untuk diaplikasikan kepada semua murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) dalam mempelajari Bahasa Melayu Penulisan (Bahagian B - Ulasan).