TEKNIK I-KAN: MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN IMBUHAN APITAN MEN-...-I DAN MEN-...-KAN DALAM KALANGAN MURID TAHUN EMPAT
SOO WAI THENG
LOO PIK QI
TAN HUI SHI
SJKC YU YING
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menggunakan imbuhan apitan meN-...-i dan meN-...-kan dalam kalangan murid Tahun Empat melalui teknik I-Kan. Empat orang murid telah dipilih menjadi peserta kajian. Pengumpulan data awal telah dilaksanakan melalui analisis dokumen, ujian diagnostik dan temu bual. Hasil daripada analisis dokumen dan ujian diagnostik telah menunjukkan bahawa peserta kajian mendapat markah yang sangat rendah dalam latihan dan soalan ujian yang diberi. Hasil temu bual pula menunjukkan semua peserta kajian masih tidak dapat membezakan cara penggunaan imbuhan apitan meN-...-i dan meN-...-kan dan tidak dapat menggunakan perkataan yang berimbuhan apitan meN-...-i dan meN-...-kan untuk membina ayat. Oleh itu, teknik I-Kan yang terdiri daripada kad gelangsar, lagu I-Kan dan permainan bahasa digunakan untuk membantu peserta kajian menangani masalah ini. Berdasarkan dapatan kajian, semua peserta kajian telah menunjukkan peningkatan dalam ujian akhir dan lembaran kerja yang diberi dalam setiap sesi tindakan. Hasil temu bual selepas tindakan turut menunjukkan bahawa semua peserta kajian telah mahir dalam menggunakan imbuhan apitan meN-...-i dan meN-...-kan. Dengan itu, teknik I-Kan berjaya membantu peserta kajian untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam penggunaan imbuhan apitan meN-...-i dan meN-...-kan. Walau bagaimanapun, kajian ini boleh ditambah baik oleh pengkaji seterusnya dari segi nota yang terdapat dalam slaid persembahan dan kualiti papan putih kecil.