LADAPSYS
KHAIRULAZUAD BIN HUSAIN
YENNY CHEE FONG YEUN
YOGEISHWARY A/P RAMAN
SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH
ABSTRAK
Sistem pengurusan dokumen yang sistematik diperlukan oleh kebanyakan organisasi dalam pengurusan dokumen fizikal termasuklah institusi pendidikan seperti sekolah yang berdepan dengan lambakan dokumen rasmi seperti rekod latihan staf. Justeru, satu kajian berkenaan sistem pengurusan rekod dokumen Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAPSYS) melalui aplikasi dijalankan dengan beberapa objektif menyediakan platform dan kaedah pengurusan dan penyimpanan dokumen yang tersusun seterusnya prosedur rekod latihan yang lebih efisien dan efektif. Teori Aktiviti digunakan sebagai kerangka analitikal asas dalam keseluruhan kajian kerana mengandungi enam komponen yang bertepatan dengan konteks kajian iaitu aktiviti manusia di dalam pengurusan dokumen. Enam komponen tersebut disokong dengan Eight Steps Model (ESM) yang menyediakan lapan langkah mengenalpasti keperluan sistem sebelum dibangunkan. Setelah LADAPSYS dibangunkan, penilaian keberkesanan sistem dilaksanakan melalui instrumen soal selidik yang ditadbir kepada 74 orang staf sekolah melibatkan dimensi kebolehgunaan dan impak penggunaan. Dapatan menunjukkan tahap keberkesanan LADAPSYS adalah tinggi dengan nilai purata min ialah 3.83 manakala nilai min bagi dimensi kebolehgunaan ialah 3.77 dan min impak penggunaan pula ialah 3.88. Inovasi yang dilaksanakan di SMK Sultan Yussuf ini menunjukkan impak yang positif daripada pengguna dengan projek telah diberi penambahbaikan berdasarkan input responden. Kesimpulannya, LADAPSYS yang dibangunkan diakui praktikal, mudah, menjimatkan masa dan kos serta mampu membantu pengurusan dokumen dan rekod latihan di sekolah. Projek inovasi ini mempunyai potensi yang tinggi untuk disebarluaskan di sekolah-sekolah lain dan boleh juga diasimilasi untuk sistem pengurusan dokumen yang setara.