MENINGKATKAN KEMAHIRAN SIFIR MURID MELALUI PENDEKATAN DARAB GUNA JARI
Oleh:
Sangeetha A/P Krishna
Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)
Ladang Kampar, 31900 Kampar
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran sifir 6, 7, 8, dan 9 dalam kalangan murid tahun 2 Alli melalui pendekatan Darab Guna Jari. Kemahiran sifir merupakan asas yang penting dalam Matematik. Seramai 6 orang murid Tahun 2 Alli dan seorang guru penyelidik terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilakukan melalui pemerhatian, temu bual, soal selidik, latihan bertulis dan ujian pra. Hasil tinjauan menunjukkan murid-murid kurang mahir dalam sifir 6 - 9. Kesukaran mengingat sifir menyebabkan muridmurid mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan soalan yang berkaitan pendaraban. Suatu perancangan tindakan dibuat bagi meningkatkan kemahiran sifir ini. Sesi bimbingan dijalankan semasa waktu pengajaran dan pembelajaran selama 2 minggu iaitu setiap hari Ahad hingga Khamis selama 10 minit bagi setiap sesi. Maklumat daripada pemerhatian dan temu bual menunjukkan terdapat peningkatan dari segi minat, sikap dan pencapaian murid dalam Matematik. Setelah kajian tindakan dilaksanakan, keputusan ujian pasca menunjukkan peningkatan prestasi murid. Semua murid kumpulan sasar saya dapat menjawab semua soalan dengan tepat dan cepat. Secara keseluruhannya, kajian tindakan ini telah dapat meningkatkan kualiti amalan pengajaran guru dan pembelajaran murid dalam kemahiran sifir 6 - 9.