PENINGKATAN PENGUASAAN TOPIK MORFOLOGI DAN SINTAKSIS PELAJAR TINGKATAN PAUPM MELALUI TEKNIK FIKIR, ANALISIS, DAN VIDEO (FADEO)
OLEH :
SHARIFAH BINTI HAJI MOKHTAR
SMK SERI KAMPAR, KAMPAR
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan pelajar semasa menguasai topik morfologi dan sintaksis Bahasa Melayu Semester 2 . Sampel kajian yang diambil melibatkan 18 orang pelajar terlibat dalam kajian ini. Pengkaji memfokuskan kajian kepada kesalahan yang kerap dilakukan oleh pelajar semasa menjawab soalan objektif dan subjektif. Tinjauan awal yang dilakukan melalui ujian pra telah menunjukkan bahawa pelajar sangat lemah dalam menguasai topik dalam sukatan Bahasa Melayu Semester 2. Oleh sebab itu, beberapa pendekatan dilakukan untuk memperbaiki kelemahan pelajar. Pendekatan FADEO diperkenalkan kepada pelajar untuk mengatasi masalah tersebut. Kaedah ini menitikberatkan isi pelajaran dan cara menjawab soalan kertas 2. Kandungan kaedah ini mengandungi dua tumpuan iaitu tumpuan utama (fokus utama) dan tumpuan kedua (fokus sampingan). Fokus sampingan mungkin lebih daripada satu dan tugas fokus sampingan untuk membantu dan memperkuat fokus utama. Kaedah ini bergantung kepada kreativiti guru dengan aspek yang hendak ditonjolkan dan diperbaiki. Hasil tinjauan awal menunjukkan bahawa pelajar menunjukkan sikap positif dengan cara bergiat aktif di dalam kelas untuk menguasai kemahiran mengingat fakta dan menganalisis soalan. Selain itu, pelajar juga lebih berkeyakinan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas bagi mencapai keputusan yang lebih baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu STPM Semester 2.